.:: Kemaafan Adalah Yang Terbaik ::.



Cikgu Wafiy, guru kelas 1 Abu Bakar di Sekolah Kebangsaan Pulau Melaka menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Dalam permainan itu, setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang mereka paling benci. Mereka diminta membawa pisang tersebut ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci. Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastik yang berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa 3 biji, ada juga lima biji dan paling banyak 8 biji. Semuanya sudah tertulis nama orang yang mereka paling benci.

"Sekarang simpan pisang itu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. " kata Cikgu Wafiy. "Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya." beritahu Cikgu Wafiy lagi. Murid-murid tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.

Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk. Murid-murid itu mula merungut dan marah. Mereka tidak lagi menyukai permainan itu kerana selain beg mereka berat, badan mereka juga berbau busuk. Ada yang menangis kerana enggan meneruskan permainan itu

Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Cikgu Wafiy sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban yang berat dan bau busuk yang perlu dibawa.

"Baiklah semua, apa rasanya membawa pisang di dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Wafiy.

Semua murid mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk. Dengan tenang Cikgu Wafiy menjawab,

"Itulah sebenarnya apa yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana sahaja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya selama seminggu, cuba kamu bayangkan apa yang akan terjadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu." beritahu Cikgu Wafiy.

Cikgu Wafiy mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi adalah lebih baik daripada membenci...

* Bolehkah aku memaafkan 'insan itu'? Adakah aku masih menyayangi 'insan itu'? Hati ini semakin hari semakin membengkak...

Labels: , edit post
0 Responses

Post a Comment