.: Selamat Hari Raya Aidilfitri :.



...Salam Lebaran & Selamat Hari Raya Aidilfitri Ahdhar ucapkan kepada keluarga Ahdhar di Mersing, Johor, di Ipoh, Perak dan Masjid Tanah, Melaka. Juga kepada keluarga angkat Ahdhar di Kampung Perupok, Yan, Kedah, Encik Ramli bin Zainul dan keluarga, insyaAllah Ahdhar akan datang ke rumah abah selepas cuti raya ini. Juga kepada keluarga angkat Ahdhar di Kampung Kinapulidan, Ranau, Sabah, Puan Saenah binti Judin dan keluarga, Ahdhar nak ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Ahdhar tidak pernah melupakan kalian, insyaAllah jika ditakdirkan umur Ahdhar panjang atau di'posting ke Sabah, Ahdhar akan ke sana. Masih terbayang di ingatan Ahdhar suasana kampung yang begitu tenang dan nyaman di kaki gunung Kinabalu. 

Ahdhar juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua kawan-kawan Ahdhar dari sekolah rendah hingga sekolah menengah dan IPGM Kampus Perlis. Semoga perjalanan balik kamu semua ke kampung akan sentiasa selamat. Selamat berhari raya dan selamat bercuti. Jangan lupa Ahdhar dan yang paling penting jagalah kesihatan kamu semua. Selamat juga kembali ke Perlis serta jangan lupakan assignment yang melambak yang perlu dihantar selepas cuti ini. Nanti balik ke Perlis, bawalah kuih-kuih raya, bolehlah Ahdhar merasa. Akhir sekali, kepada semua pembaca blog Ahdhar (kalau adalah)... Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin... Hati-hati di jalanraya...

* Ahdhar sedih sebab tahun ini Ahdhar sampai di rumah pada pagi Hari Raya, tiket bas dah habis.... Tak sempat Ahdhar nak buka puasa dengan keluarga, tak dapat buat ketupat dan kuih raya, tak dapat tolong keluarga buat persiapan Hari Raya. Tapi insyaAllah tahun depan, Ahdhar nak beli tiket bas awal-awal...



.: The Twilight Saga :.





'The Twilight Saga' merupakan kumpulan novel bahasa Inggeris yang berjaya menarik perhatian Ahdhar untuk membaca dan menikmatinya. Novel remaja bergenre romantik-seram ini adalah hasil tulisan seorang penulis wanita Amerika yang terkenal iaitu Stephenie Meyer. Pertama kali membacanya, Ahdhar sudah mula tertarik. Seorang kawan Ahdhar, Salwani memperkenalkan kepada Ahdhar. Novel 'Twilight' merupakan novel pertama dalam kumpulan novel ini, diikuti 'New Moon', 'Eclipse' dan 'Breaking Dawn'. Ahdhar sudah pun membaca 'Twilight' dan 'New Moon'. Ahdhar merasa teruja untuk membaca kisah seterusnya. Ahdhar juga berhasrat untuk membeli kumpulan novel ini. Ia boleh didapati di kedai buku Borders dan kedai buku MPH. Ahdhar ingin menjadikannya sebagai koleksi. Novel ini berkisar tentang seorang remaja perempuan, Isabella Swan yang jatuh cinta dengan seorang pontianak lelaki (vampire), Edward Cullen dan kisah cinta mereka. Sebenarnya, ada sebuah lagi novel yang berkaitan dengan 'Twilight' iaitu 'Midnight Sun'. Jika kumpulan novel 'Twilight' adalah daripada pandangan Isabella Swan, tetapi 'Midnight Sun' adalah daripada pandangan Edward Cullen. Walau bagaimanapun, 'Midnight Sun' belum lagi diterbitkan. Selain kelima-lima novel yang Ahdhar sebutkan, Stephenie Meyer juga menulis sebuah lagi novel berjudul 'The Host' tetapi ia adalah novel dewasa. Ahdhar juga tidak sabar menunggu 20 November 2009 apabila filem 'New Moon' ditayangkan. Filem 'Twilight' telah ditayangkan pada 21 November 2008 dan Ahdhar telah menontonnya berkali-kali. Kepada yang meminati novel Inggeris, bolehlah cuba membaca 'The Twilight Saga'. Selamat membaca...  

* Ahdhar juga teringin mendapatkan ketujuh-tujuh novel 'Harry Potter', novel ' The Lord of The Ring', 'Eragon dan pelbagai novel Inggeris yang lain...

.: Ketupat :.





Apabila tiba hari raya, salah satu hidangan yang 'WAJIB' adalah ketupat, tidak kira sama ada ketupat nasi atau ketupat daun kelapa yang popular di bahagian barat dan selatan Malaysia mahupun ketupat pulut atau ketupat daun palas yang popular di bahagian utara dan timur Malaysia. Ketupat biasanya dimakan dengan rendang, serunding, kari dan sebagainya. Di tempat Ahdhar, Johor, ketupat dimakan bersama rendang, kuah kacang, kuah lodeh, serunding dan kari. Makan ketupat tidaklah sesukar membuat ketupat kerana membuat atau menganyam ketupat memerlukan kemahiran yang perlu dipelajari. Makan ketupat hanya memerlukan seseorang itu, mengambil ketupat yang telah dimasak dan dipotong kemudian dimasukkan ke dalam mulut.

Pada masa kini, tidak ramai golongan muda yang pandai menganyam ketupat tetapi ramai yang pandai makan ketupat dan 'membuat ketupat'... Hahaha. Ahdhar bertuah kerana Ahdhar memiliki kemahiran itu. Setiap tahun Ahdharlah yang menjadi tukang anyam ketupat keluarga Ahdhar, walaupun tahun lepas adik berjaya membuat ketupat buat pertama kalinya. Ahdhar mempelajari kemahiran ini semasa Ahdhar berumur 11 tahun dan Ahdhar mempelajarinya daripada nenek Ahdhar. Ahdhar pandai membuat ketupat sate, ketupat bawang dan ketupat burung. Ahdhar sedang mencari peluang mempelajari ketupat palas dan ketupat jantung. Ketupat jantung adalah yang paling sukar kerana setakat yang Ahdhar tahu, hanya dua tiga orang sahaja yang mahir membuatnya di kampung Ahdhar, salah satunya arwah moyang Ahdhar dan nenek Saerah. Ahdhar harap Ahdhar dapat mempelajarinya kerana menganyam ketupat bagi Ahdhar merupakan suatu seni. Walaupun Ahdhar tiada seni melukis, seni menganyam pun jadilah.

Di sini, Ahdhar sertakan artikel yang Ahdhar 'copy' daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Ketupat...

Ketupat

Ketupat ialah sejenis hidangan daripada nasi atau pulut yang dibungkus dengan daun kelapa dan direbus dalam periuk yang terkenal di Malaysia, Indonesia serta beberapa negara Asia Tenggara lain.

Jenis ketupat bergantung kepada bahan yang digunakan dan daun yang digunakan untuk membuat bungkusannya. Ketupat pulut ialah ketupat yang mengunakan beras pulut sebagai bahan asasnya, manakala ketupat nasi dibuat daripada beras atau padi. Biasanya dibungkus dengan daun kelapa.
 
Ketupat palas

Ketupat palas ialah ketupat yang menggunakan daun palas sebagai pembungkusnya. Biasanya daun palas digunakan untuk membalut ketupat pulut, manakala daun kelapa untuk ketupat nasi.

Ketupat tiga segi ialah bentuk ketupat tersebut tiga segi. Ketupat moden biasanya empat segi.

Sejak 1990, ketupat tidak lagi dibuat daripada daun kelapa, sebaliknya dibungkus dalam plastik dan dikukus dalam periuk elektrik. Ketupat sebegini dinamakan nasi himpit. Walaupun ada pelanggan yang merungut bau tidak seenak dahulu, itu tidak jadi masalah.

Ketupat biasanya dihidangkan semasa hari raya sahaja iaitu pada Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji. Ia biasanya dihidangkan dengan rendang dan serunding serta kuah kacang. Namun kini, ketupat turut dihidangkan dengan sate di gerai-gerai dan restoran seperti di Kajang.

* Ahdhar teringat pertama kali menganyam ketupat, berbelit-belit daun ketupat tu dibuatnya... Pengalaman banyak mengajar Ahdhar...

.: Balik Kampung :.





Lirik lagu nyanyian Allahyarham Sudirman ini sentiasa terngiang di telinga dan minda Ahdhar sejak dua minggu ini. Perasaan Ahdhar bercampur baur. Gembira, seronok, sedih, syahdu.... Mana tidaknya, pada tahun ini Ahdhar balik kampung pada malam raya dan sampai mungkin pagi raya. Ahdhar mungkin kena sembahyang raya dalam bas (Hahaha)... Ini kali pertama, Ahdhar tiada di rumah pada malam raya bersama keluarga. Paling lewat pun sebelum ni, Ahdhar sampai di rumah sehari sebelum raya. Tapi tahun ni lain pula jadinya. Tiket ke Mersing habis sebulan sebelum raya. Mungkin silap Ahdhar juga yang tidak mengambil kisah pasal tiket raya. Tapi yang Ahdhar hairan adalah kakak yang bertugas di tiket kaunter tu cakap tiket raya mula dijual pada 15/8/2009. Tapi bila Ahdhar pergi tarikh tu, dia cakap tiket dah habis. Geram dan marah Ahdhar dibuatnya. Tapi nak buat macam mana, tiket ke Mersing sudah pun habis. Jadi Ahdhar terpaksa balik pada malam raya 19/9/2009. 3 hari lagi, seperti biasa naik di Alor Setar. Walau bagaimanapun, Ahdhar bukan balik keseorangan. Beberapa orang kawan Ahdhar pun balik pada tarikh yang sama tapi naik bas di Kangar. Jadi, sama juga Ahdhar balik sendiri. 

Sudah hampir 3 bulan Ahdhar tidak balik ke kampung. Rindu rasanya. Tak sabar Ahdhar nak makan masakan emak dan nenek. Tapi tahun ni, Ahdhar tidak sempat nak buat kuih raya dan ketupat, macam yang Ahdhar selalu buat pada tahun-tahun lepas. Tapi, mungkin bila Ahdhar nak balik Perlis nanti, Ahdhar nak buat biskut raya untuk kawan-kawan Ahdhar. Ahdhar taklah pandai sangat, tapi bolehlah. Tak sabarnya nak balik kampung...

.:: Kucing ::.



Meow... Meow... Meow... Bunyi haiwan yang paling Ahdhar senangi. Kucing merupakan haiwan peliharaan pilihan Ahdhar. Sehingga kini, Ahdhar masih menyimpan cita-cita untuk memelihara kucing walaupun sebenarnya keluarga Ahdhar tidak menyukainya. Sebab itulah... Sebab inilah... Geram tengok kawan Ahdhar, Roslan yang memelihara seekor kucing yang sangat comel di asrama. Nama kucing Sherry. Hahaha, sedapkan nama tu. Seekor kucing betina yang Roslan beli pada umur sebulan, kalau Ahdhar tidak silap. Hari-hari kerja Roslan adalah bermain dengan kucingnya yang comel. Seronoknya kalau dapat bela kucing...

Sebenarnya, masa Ahdhar sekolah rendah dulu, Ahdhar ada membela seekor kucing jantan bernama Bujang. Bujang sangat manja dengan Ahdhar sehingga tidur pun dengan Ahdhar walaupun Ahdhar kerap dimarahi dengan emak Ahdhar kerana Ahdhar menghidap asma yang teruk pada masa itu. Tapi sekarang, bila dah besar panjang, asma dah hilang. Tak tahu ke mana pergi asma Ahdhar. Bujang juga seekor kucing yang aktif dan lincah serta gemar bergurau.  Paling Ahdhar suka adalah semasa memandikan Bujang. Walaupun Bujang seakan-akan marah semasa dimandikan, tetapi Bujang tak pernah menggigit atau mencakar semasa dimandikan. Mungkin Buang tahu, orang yang memandikannya adalah orang yang memberinya makan dan tempat tinggal yang selesa. Sebenarnya, bukan Ahdhar yang memandikan Bujang, tapi moyang Ahdhar. Tapi moyang Ahdhar dah meninggal dunia masa Ahdhar darjah 2 pada tahun 1994.

Satu lagi, Ahdhar suka tidur dengan Bujang sebab Ahdhar suka dengar Bujang berdengkur... Percaya atau tak Bujang berdengkur? Tapi masa banjir tahun 1996, Bujang hilang dan tak balik lagi. Ahdhar rasa sedih sangat. Sejak itu, Ahdhar tak bela kucing lagi dan emak Ahdhar pun tak benarkan Ahdhar bela kucing sebab takut asma akan menjadi lebih teruk.

Kalau Ahdhar tak silap, kucing merupakan haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW. Pernah diceritakan dalam satu riwayat bahawa Rasulullah sanggup menggunting jubah yang dipakainya kerana seekor kucing sedang tidur di atasnya. Begitu kasihnya Nabi ke atas haiwan. Sebenarnya, haiwan berhak disayangi oleh manusia terutamanya kucing. Mengapa Ahdhar mengatakan demikian. Kucing tidak seperti haiwan lain macam gajah, harimau yang habitatnya adalah hutan. Kucing 'ditakdirkan' hidup dan berkembang biak di kawasan manusia. Jadi, adalah tidak patut sekiranya kucing diperakukan dengan kejam seperti dipukul, dibelasah, dilanggar dan sebagainya.

Ahdhar sering kali terserempak kucing yang mati dilanggar di jalan raya. Ahdhar bukannya nak menyalahkan pengguna jalan raya kerana sengaja melanggar kucing tetapi kadang-kadang ada manusia yang sengaja berbuat demikian. Dari jauh sudah melihat ada kucing mahu melintas, tetapi mereka sengaja melajukan kereta mereka dan sekiranya terlanggar sesuatu terutamanya haiwan, mereka akan mengatakan " Sudah ajal ", " Tak perasan " dan macam-macam lagi alasan. Tidakkah mereka mempunyai nilai peri kemanusiaan dalam diri mereka??? Fikirkanlah...

* Ahdhar rasa kelakar dan terkejut kerana kawan Ahdhar, Rustam tidak menyukai kucing. Kucing kan comel. Dia kata kucing merimaskan. Mesti seronok tengok gelagat Rustam apabila kucing dicampak kepadanya. Melompat tak jejak dunia lagi lah dia. Hahaha...    

.:: Politik Kroni ::.


Kroni... Kroni... Kroni... Apa itu kroni? Maksud kroni adalah individu atau syarikat yang memberikan keuntungan atau hasil kapada keluarga dan keputusan yang tidak melalui proses yang telus. Termasuk dalam kategori kroni adalah kawan-kawan rapat, rakan-rakan senegeri... Oleh itu, bagi pendapat saya kroni adalah semangat berpuak-puak atau asabiyah dalam bahasa Arab. Politik kroni berlaku di mana sahaja. Malahan di tempat saya belajar sekarang pun ada politik kroni. Di manakah keadilan yang diperjuangkan??? 

Sebenarnya, isu kroni ini sudah lama wujud. Apabila Islam datang dan ditegakkan oleh Rasulullah,  kroni tidak dapat mengambil tempat kerana Islam tidak mengred umatnya kepada kroni sebaliknya 'penggredan' adalah berdasarkan 'competency' atau kecekapan seseorang itu melunaskan tugas, amanah serta tanggungjawab dengan penuh cekap...

Di tempat saya menuntut sekarang, isu politik kroni ini adalah yang paling mengecewakan. Dari serendah-rendah jawatan sehingga setinggi-tinggi jawatan bagi suatu komuniti pelajar dipilih secara tidak adil.  Sesiapa yang baik dengan AJK tertinggi dan 'senegeri' dengan mereka boleh dikatakan secara automatik akan mendapat apa-apa jawatan dalam komuniti tersebut tanpa melihat kecekapan dan pengalaman orang tersebut melaksanakan tugas... Sekali lagi, adakah ini adil??? Adakah adil suatu komuniti yang dinamakan komuniti pelajar hanya melantik sebilangan pelajar 'tertentu' tanpa mengadakan suatu mesyuarat bersama semua pelajar??? Adakah adil suatu komuniti yang dinamakan komuniti pelajar hanya membuat keputusan sesama AJK tertinggi tanpa memberitahu terlebih dahulu semua pelajar??? Di manakah demokrasi yang mereka perjuangkan selama ini??? Tidak malukah mereka dengan Allah, mulut boleh dikatakan berbuih memperkatakan keadilan tetapi diri sendiri tidak adil???

Jika begini keadaanya, relevenkah suatu komuniti itu dinamakan 'KOMUNITI PELAJAR'??? Yang AJKnya dilantik berdasarkan hubungan baik dengan 'Ahli Majlis Tertinggi' yang merupakan rakan 'senegeri'. Di manakah demokrasi??? Bukankah ini asabiyah seperti yang berlaku di kalangan masyarakat Arab dari dulu, kini dan mungkin selamanya... Jika mereka tidak berubah. Bukankah Islam itu dibina atas dasar UMMAH bukan atas dasar kenegerian. Tidak salah jika bersemangat kenegerian, tetapi jika mengabaikan keadilan dan meminggirkan hati manusia lain. Adakah ini ADIL??? 

* Bilakah keadilan akan ditegakkan???

Labels: , 2 comments | edit post

.:: Kemaafan Adalah Yang Terbaik ::.



Cikgu Wafiy, guru kelas 1 Abu Bakar di Sekolah Kebangsaan Pulau Melaka menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Dalam permainan itu, setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang mereka paling benci. Mereka diminta membawa pisang tersebut ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci. Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastik yang berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa 3 biji, ada juga lima biji dan paling banyak 8 biji. Semuanya sudah tertulis nama orang yang mereka paling benci.

"Sekarang simpan pisang itu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. " kata Cikgu Wafiy. "Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya." beritahu Cikgu Wafiy lagi. Murid-murid tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.

Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk. Murid-murid itu mula merungut dan marah. Mereka tidak lagi menyukai permainan itu kerana selain beg mereka berat, badan mereka juga berbau busuk. Ada yang menangis kerana enggan meneruskan permainan itu

Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Cikgu Wafiy sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban yang berat dan bau busuk yang perlu dibawa.

"Baiklah semua, apa rasanya membawa pisang di dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Wafiy.

Semua murid mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk. Dengan tenang Cikgu Wafiy menjawab,

"Itulah sebenarnya apa yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana sahaja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya selama seminggu, cuba kamu bayangkan apa yang akan terjadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu." beritahu Cikgu Wafiy.

Cikgu Wafiy mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi adalah lebih baik daripada membenci...

* Bolehkah aku memaafkan 'insan itu'? Adakah aku masih menyayangi 'insan itu'? Hati ini semakin hari semakin membengkak...